Mari belajar bersama

PENGENALAN KEPADA PEMULIHAN KHAS



Pendidikan peringkat rendah ialah pendidikan yang bertujuan untuk melahirkan insan yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara. Penguasaan Kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) perlu dikuasai pada peringkat awal bagi membolehkan murid-murid berkomunikasi dan menimba ilmu pengetahuan.

Perbezaan minat, pengalaman, bakat dan gaya belajar individu murid mengakibatkan segolongan mereka lebih lambat atau “terkebelakang” menguasai sesuatu kemahiran berbanding rakan sebayanya. Sekiranya mereka tidak diberi pengajaran pemulihan, mereka mungkin gagal memperoleh pendidikan yang perlu dan potensi mereka akan terbenam. Justeru, melalui program pemulihan khas keperluan-keperluan murid berpencapaian rendah dapat dikenal pasti dan dipenuhi (Jabatan Pendidikan Khas,2003).

Program pemulihan S.K Kumawanan dikenali sebagai “Kelas Bestari”. Bestari bermaksud pandai dan baik budi pekerti (Nordin dan Ariah, 2005). Oleh hal yang demikian, nama “Bestari” yang telah diilhamkan oleh Penolong Kanan I S.K Kumawanan dan Guru Pemulihan Khas (2007) diharap dapat menyerap dan membentuk nilai-nilai bestari terhadap para pelajar yang mengikuti program ini.




Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Jabatan Pelajaran Negeri Sabah (JPNS) - Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas telah menempatkan seorang Guru Pemulihan Khas ( opsyen Pemulihan Khas) pada tahun 2007 iaitu Cikgu Junidah Labaja.